Saturday, September 29, 2007

Thursday, September 27, 2007

AmaZingly ShiOk

Baru-baru ini kami pelajar Yio Chu Kang telah menghadiri sebuah bengkel yang dinamakan “Amazingly Shiok” pada 3hb September 2007. Bengkelnya sungguh menarik.

Melalui bengkel ini, saya dapat mempelajari banyak perkara baru. Di antaranya adalah permainan-permainan tradisional seperti “kaki kuda” dan satu lagi kalau saya tidak silap ialah “galah panjang”.

Permainan “kaki kuda” adalah satu permainan di mana kami menggunakan dua tin susu. Tin-tin itu diikat dengan tali. Kami berpijak di atas tin-tin itu sambil memegang tali ketika berjalan.

Untuk permaian “galah panjang” kami harus berjalan di atas galah (garis lurus yang menggunakan pelekat di lantai). Permainannya amat membingungkan serta mengelirukan, membuatkan saya sering bertanya kepada “laksamana” yang menjalankan aktiviti tersebut.

Selain daripada bermain permainan, kami telah menjalani satu segmen di mana kami harus melakonkan satu babak bangsawan. Melalui lakonan tersebut kami dapat mempelajari seni bangsawan yang pernah wujud sebelum kehadiran dunia perfileman.

Kami juga diberi peluang untuk menjual beli pantun antara satu kumpulan dengan yang lain. Apabila tiba giliran saya untuk menjual pantun dada saya berdebar-debar. Namun saya gagahi juga kerana ia merupakan satu latihan keyakinan diri berdiri di depan orang ramai.

Pada akhir bengkel saya dapat ramai kenalan baru daripada para pelajar sekolah dari daerah Ang Mo Kio.

Terus terang saya katakan, saya amat gembira dan berasa seronok menghadiri bengkel ini. Begitu juga teman-teman saya yang lain turut berasakan demikian.

Apapun jua, saya ingn mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cikgu Aisha kerana memberi saya peluang untuk menghadiri bengkel ini. Terima kasih, cikgu!

Sri Juwita Bte Azmi - 104
Kumpulan Hang Lekiu

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Kumpulan saya mempersembahkan bangsawan cerita Singapura Dilanggar Todak. (Nurul Natalia 112)

Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan apabila mereka memberi kami sebuah dulang besar yang mengandungi nasi dan lauk-pauk untuk dimakan bersama empat orang. (Farhan 112)

Saya berharap agar program ‘learning journey’ ini harus sering diadakan. Siapa yang tidak datang rugi! (Nuratiqah 102)

Apabila hujan turun, kami tidak dapat meneruskan “Amazing Race” tersebut. Sedih sungguh! (Siti Amiratul Raudah 103)

Sesiapa yang bertutur dalam bahasa Inggeris akan didenda dengan membuat ketuk ketampi. (Nur Azlina 102)

Petunjuk yang paling susah kami huraikan berbunyi “carilah 3 yang kahwin 2” (Calvin Ang 101)

Permainan “campak bom” bertujuan menjatuhkan tin-tin yang disusun oleh kumpulan lain. (Siti Fatimah 101)

Saya dimasukkan dalam Kumpulan Tuk Janggut. Kumpulan yang paling kecoh! (Nur Atikah 104)

Kumpulan saya tidak percaya apabila diumumkan kumpulan kami Kumpulan Hang Jebat mendapat tempat pertama. (Dian Azrinda 101)

Pada saya mendapat kawan baru lebih penting daripada kemenangan. (Syafiqah 103)

Pada akhir program kami diberikan sijil penyertaan oleh pihak penganjur. (Noorhasmida 102)

Sekolah yang terlibat : Sekolah menengah Ang Mo Kio, Anderson, Deyi dan Yio Chu Kang. (Mohd Ramdhan 104)

Pada awal perkenalan, para pelajar berasa malu. (Ramizan)

Bengkel ini dikelolakan oleh Syarkat Mind Aktif. (Mohd Shyaifuddin 103)

Bengkel Amazing Shiok itu dijalankan di Kampung Glam. (Zulfikar 104)

Melalui bengkel Amazing Shiok saya dapat berinteraksi dengan para pelajar dari sekolah lain. (Amrin Anan 101)

Sunday, September 23, 2007

KuiZ RamaDHan 2007


1. Bulan Ramadhan bulan ke _______ dalam kalendar Islam ( 9 atau 12)
2. Kita disunatkan _______ sebelum berpuasa pada bulan Ramadhan (beriftar atau bersahur)
3. Seseorang yang berniat puasa Ramadhan pada waktu pagi batal puasanya (ya atau tidak)
4. Nuzul alQuran - Al-Quran turun pada malam _______ Ramadhan. (17 atau 27)
5. Beramal pada malam Lailatul-Qadar ganjaran pahalanya 1000 _______ (bulan atau tahun)
6. Solat 8 atau 20 rakaat dikenali dengan solat _______ (witir atau tarawih)
7. Pada bulan Ramadhan setiap orang mesti membayar zakat ______ (harta atau fitrah)

Kuiz Ramadhan 2007 Ini Terbuka Kepada Semua Pelajar Sekolah Menengah Yio Chu Kang. Untuk Memenangi Hadiah Istimewa Sila Jawab 7 Soalan Mudah Berkaitan Bulan Ramadhan.

Cara Jawab - sila klik perkataan Ramadhan. Tulis Nama Dan Kelas Anda. Kemudian Cuma Tulis Jawapan Ikut Urutan Dari 1 Hingga 7.

Atau Tulis Jawapan Anda Dengan Klik Perkataan Comments Di Bawah Kanan Untuk Menghantar Jawapan Anda.

Selamat Mencuba Dan Berjaya.

Saturday, September 22, 2007

TerKaPai-KaPai


Kesuntukan masa
Kepenatan mencengkam jiwa
Namun masa
Enggan menungguku lagi
Aku ditinggalkan
Terkapai-kapai di sini
Keseorangan

Hari silih berganti
Aku kian terpenjara
Dek menunggu masa
Saat yang berdebar tiba

Debaran yang dirasai
Tidak dapat ku gambarkan
Degupan yang bergoncang
Ketegangan yang menyelubungi
Oh, tak sanggup lagi
Saat itu ku nanti

Berjayakah aku nanti?

Nur Amirah Saparman
Men 401

Friday, September 21, 2007

Hebatnya Dugaan-Mu


Hatiku bimbang dan tidak tenteram, walaupun anak dalam kandunganku telah selamat dilahirkan. Belum sempat aku melihat wajah comelnya, dia telah terus dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi dan ditempatkan di dalam inkubator. Aku hairan melihat kejadian itu tetapi aku terlalu penat untuk memikirkannya. Setelah tujuh jam, Nisa, anakku diserang sawan. Aku tidak tahu kenapa itu yang terjadi dan apakah sebabnya. Aku keliru dan cemas ketika itu.

Kini aku diberitahu bahawa Nisa mengalami sakit saraf otak yang dikenali sebagai ‘celebral palsy’. Ini disebabkan oleh keterlewatan kelahiran Nisa yang menyebabkan dia terminum air ketuban yang mengakibatkan otaknya gagal berfungsi dengan sempurna. Matanya pula tidak mampu berkerdip. Kini, matanya mengalami kesan parut kerana terdedah pada habuk. Tangan Nisa juga tidak mampu diluruskan disebabkan urat saraf tangannya pendek. Dia juga masih tidak mampu berjalan seperti biasa.

Dengan ini, aku membawa Nisa bertemu seorang juru pulih anggota di Tanjong Malim. Aku dan suamiku tidak menghiraukan kos perubatan mahupun usaha yang telah kami curahkan. Aku pernah keguguran kerana terlalu letih dan kurang mengambil berat tentang diriku. Justeru, apa yang paling penting bagiku ialah Nisa cepat sembuh dan berupaya bergerak. Dalam keadaan sedemikian, Nisa harus memakai kasut yang ditempah khas pada harga yang agak tinggi. Kini, barulah Nisa mampu bergerak sendiri walaupun sekadar merangkak sahaja. Aku cukup berpuas hati dengan pencapaiannya sejauh ini.

Namun, sebagai seorang ibu, aku tetap bimbang dengan keadaan mata Nisa. Doktor telah memaklumkan bahawa sekiranya Nisa masih tidak boleh mengerdipkan matanya, dia akan menjadi buta. Ya Allah! Begitu berat dugaan yang harus anakku tempuhi. Aku tidak sanggup membiarkan anakku hidup dalam keadaan sebegitu. Kami terus membawanya ke sebuah hospital pakar agar matanya dapat dibedah. Kosnya begitu tinggi dan kami menghadapi kepayahan untuk membiayainya. Justeru, Nisa hanya dirawat dan dikehendaki bertemu doktor setiap tiga bulan sekali. Nisa terpaksa menanggungnya.

Setiap kali aku melihat Nisa terlena dengan matanya yang terbuka, aku pasti menitiskan air mataku. Perit sungguh bagiku menghadapi dugaan Allah ini. Kami terus berusaha untuk membantu Nisa dengan apa sahaja cara sekali pun. Kesabaran kami terasa berbalas jua tatkala Nisa berupaya memanggil kami ‘mama’ dan ‘ayah’. Kami sungguh terharu. Aku juga berbangga kerana Nisa akhirnya berupaya melakukan beberapa perkara asas secara berdikari. Aku masih menyimpan cita-cita agar dapat menyekolahkan Nisa.

Aku redha dan akan tetap menyayangi Nisa dengan sepenuh kasih dan sayangku. Aku sedar bahawa ada lagi insan lain yang lebih hebat dugaan dan cabarannya yang perlu dilalui. Aku pasrah, ya Allah!

Aziela Bte Sakaria
Men 303

Thursday, September 20, 2007

Wednesday, September 19, 2007

PasRah


Kau ibarat
Terperangkap di tengah lautan
Tak tahu arah manakah
Harus kau tuju

Mengapa ini semua harus berlaku
Apakah ini semua kerna dirimu
Sedangkan aku telah berjanji
Suatu masa dahulu

Tak akan ku ulangi lagi
Zaman silam yang telah pergi
Hidup ini hanya seketika
Sukar untuk diduga

Aku pasrah

Noramizah Bte Rahim
Men 401

Tuesday, September 18, 2007

BerSalah


Hatiku pecah seribu. Tidakku sangka akan jadi begini. Pedih hatiku apabila terkenangkan peristiwa itu.

Ikah ... Itulah insan yang amat aku hargai. Yang sangat kurindui. Wajah ayu itu masih lagi menghantui diriku ini. Memori bersamanya tidak dapat dilupakan. Namun apa dayaku, Ikah telah meninggalkanku buat selama-lamanya.

Ikah adalah seorang gadis yang baik. Orangnya bijak, peramah dan disukai ramai. Aku telah bersahabat dengannya sejak dari darjah satu lagi. Guruku selalu memujinya tidak henti-henti. Mungkin ini yang membuatku iri hati terhadapnya. Tanpaku sedari, aku telah membencinya dalam diam.

Tidakkah aku sehebat dia? Tidakkah aku juga mempunyai ciri-ciri yang sama sepertinya? Persoalan demi persoalan bermain dan muncul di benakku setiap kali bersua muka dengannya. Perasaan benciku terhadapnya ini tidak pernah kuluahkan kepada sesiapa. Ikah pernah bertanya mengapa aku kini bersikap dingin dan sering cuba menghindari daripadanya. Aku hanya berdiam diri. Persahabatan kami akhirnya semakin renggang. Namun begitu, Ikah tetap baik terhadapku. Aku mula sangsi adakah dia benar-benar ikhlas berkawan denganku ataupun tidak. Ah! Sudahlah! Menyakitkan hati sahaja memikirkan tentang hal ini!

“Kring ... !” Loceng sekolah berbunyi menandakan yang masa sekolah sudah tamat. Aku menuju ke perhentian bas seperti biasa. Aku khusyuk berjalan sambil membaca buku sehinggakan tidak perasan sebuah kereta sedang memecut menghala ke arahku.

Duniaku tiba-tiba gelap-gelita seketika. Aku sangkakan mungkin aku telah pergi buat selama-lamanya. Tetapi, tidak ku sangka aku masih bernyawa. Aku hanya pengsan seketika. Aku melihat wajah-wajah cemas mengelilingiku. Aku gagahkan diri untuk duduk dengan bantuan seorang pemuda. Dia cuba menghalangku daripada bergerak. Apabila aku menoleh ke arah kereta yang berhampiran, aku tergamam kaku. Aku melihat Ikah terperangkap di bawah kereta tersebut dengan berlumuran darah.

Ya Allah! Engkau sahaja yang tahu bagaimana perasaan aku pada tika dan saat itu. Aku menghampiri insan mulia itu dan menangis teresak-esak. Barulah aku sedar bahawa selama ini aku termakan dengan bisikan syaitan yang tiada jemu menghasut fikiranku dengan perkara yang bukan-bukan. Aku kebingungan. Apakah yang aku harus lakukan? Semuanya bagaikan sebuah mimpi.

Aku mencapai telefon bimbitku. Sebak rasanya di dada. Terkilan hatiku melihat keadaan Ikah. Aku berasa serba salah pula apabila memikirkan tentang sikapku terhadapnya. Tidak pernah sesekali pun aku membalas senyumannya padaku sejak akhir-akhir ini. Tetapi sekarang... semuanya sudah terlambat.

Ikah tidak dapat diselamatkan. Aku tidak sempat meminta maaf. Rasa kesalku membuak-buak tidak terkira. Siang dan malam aku terbayangkan wajahnya yang ayu itu.

Sehingga sekarang, aku masih tidak dapat melupakan tragedi itu. Tidak pernah pun terlintas di fikiranku untuk berperangai seburuk itu lagi. Biarlah semua ini menjadi satu pengajaran bagiku...

Nur Atikah Binte Mohamed Yusoff
Men 104

Saturday, September 01, 2007

Thursday, August 02, 2007

TAHNIAH CIKGU JAMAL


Cikgu Jamal Iskandar Ismail, telah dilantik sebagai anggota Majlis, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Pelantikan itu dibuat oleh Presiden Singapura dan disiarkan dalam warta elektronik pemerintah (e-gazette) semalam.

Jawatan tersebut akan dipegang buat tempoh tiga tahun dan akan mula berkuat kuasa Selasa ini.

Anggota lain yang dilantik adalah Presiden Muis, Haji Mohd Alami Musa; Haji Ali Haji Mohamed; Haji Pasuni Maulan; Haji Shafawi Ahmad; Syed Haroon Mohamed Aljunied; Encik Ab Razak Chanbasha, Haji Abdul Karim Maidin; Encik Asaad Sameer Ahmad Bagharib; Encik Muhammed Faiz Edwin Ignatious M, Encik Jamal Iskandar Ismail, Haji Muhammad Fuad Md Aris, Encik Sallim Abdul Kadir dan Encik Shaik Alaudeen Osman.

Dengan kepakaran mereka dalam pelbagai bidang, anggota majlis akan menasihati dan menawarkan bimbingan kepada Muis dalam pelbagai perkara meluas seperti sains hayat dan perakaunan.

Sunday, July 22, 2007

KetuPat HarMoni


Menganyam ketupat.

Anda pernah menganyam ketupat? Berapa lamakah anda belajar menganyam ketupat. Lima minit? 10 minit? atau 60 minit? atau sampai sekarang masih terkial-kial. Tahun demi tahun berlalu sehingga ada yang mengangkat bendera putih!

Hari Jumaat (20 Julai) yang lalu kita meraikan Hari Keharmonian Kaum di semua sekolah di Singapura bagi mengeratkan hubungan kaum di kalangan masyarakat di negara kita, terutama di kalangan generasi muda. Kata orang melentur buluh daripada rebungnya!

Setiap tahun Cg mengajar kemahiran menganyam ketupat kepada para pelajar dan para pendidik yang berminat untuk mempelajarinya. Hampir 90 peratus daun janur itu terburai sementara bakinya kebanyakannya lupa untuk membuat ketupat yang kedua atau ketiga!

Tetapi Cg begitu kagum dengan seorang pelajar yang bernama KelVin. Dia pelajar menengah 1 Ekspres yang mengambil Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua.

Cg seakan tidak percaya. Cg hanya membimbingnya sekali sahaja tetapi hasilnya sungguh mengkagumkan. Kata orang otaknya cair. Dia begitu tekun dan sabar serta cara memegang daun ketupat itu macam penganyam veteran!

Dalam masa dua jam KelVin dapat menganyam ketupat satay, bawang, pasar, jantung dan manggis. Bukan itu sahaja, dia turut membantu Cg mengajar para pelajar lain yang berminat untuk mempelajarinya termasuk dua guru yang inginkan tunjuk ajar menganyam ketupat manggis!

# Untuk kegiatan menganyam ketupat ini Cg memerlukan lebih kurang 150 helai janur yang Cg beli pagi-pagi buta (6.45 pagi) di Pasar Geylang sebelum ke sekolah. Secekak berharga $2.00. Terdapat lebih kurang 50 helai janur bagi setiap cekak.

# Penyertaan sungguh membanggakan daripada para guru dan pelajar yang bukan Melayu yang berminat untuk mempelajari kemahiran menganyam ketupat. Kebanyakannya berpuas hati apabila berjaya menganyam ketupat satay!

Friday, May 04, 2007

GeMiLANG 2007

GEMILANG 1 - JUARA



GEMILANG 2 – AFIQ REZZA



GEMILANG 3 – TERIMA KASIH

Thursday, May 03, 2007

PELITA HATI

Cikgu ingin berkongsi artikel ini dengan semua pelajar sempena minggu peperiksaan ini. Semoga pelajar dapat menghayati dan mengambil iktibar daripada artikel tersebut.
Bantu anak hadapi peperiksaan
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli


LAZIMNYA apabila anak menduduki peperiksaan utama sama ada Ujian Penilaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, ibu bapa yang lebih berasakan ketegangannya. Pada saat itu, ibu bapa akan mengambil pelbagai usaha bagi memastikan anak memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki. Kejayaan dalam peperiksaan sering digunakan sebagai kayu pengukur untuk melihat keupayaan seseorang anak.Kejayaan tersebut juga tiket kepada peluang mereka melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
Sebagai ibu bapa, mereka bertanggungjawab mempersiapkan anak dari segi mental, fizikal, emosi dan rohani.Antaranya mewujudkan kemesraan dan bersikap tegas ketika mendidik anak, memberi dan menerima anak tanpa syarat, menerima kritikan membina daripada anak dan mewujudkan suasana anak berasa dimiliki. Ibu bapa juga patut mengelakkan diri daripada mengulangi kesilapan yang sering dilakukan iaitu tidak membentuk anak supaya bercita-cita tinggi, tidak membantu anak menetapkan matlamat jangka pendek dan panjang, tidak membantu anak mengurus masa dengan bijak, tidak menyediakan jadual waktu, tidak peduli jika anak tiada keyakinan diri atau bersemangat, meletakkan harapan terlalu tinggi kepada anak dan kurang berdoa. Anak belajar secara berkumpulan perlu digalakkan. Kaedah itu lebih berkesan kerana biasanya mereka dapat bertukar fikiran dan bersoal jawab jika ada perkara yang kurang jelas.Lagipun, suasana pembelajaran seperti itu tidak membosankan atau tidak boleh membuat anak mengantuk. Secara bersama anak boleh berkongsi nota, membanding jawapan, merumus sesuatu idea dan bersaing sesama sendiri secara sihat. Ibu bapa juga tidak seharusnya memaksa anak belajar berterusan tanpa berehat atau beriadah. Dikhuatiri jika terlampau menerima tekanan, anak boleh diserang penyakit ketika hari peperiksaan. Ini pasti menjejaskan keupayaan menjawab soalan.
Sebagai ibu bapa yang ingin melihat kejayaan anak, mereka boleh membantu meletakkan sasaran yang bersesuaian dengan kemampuan anak. Contohnya, berapa muka surat yang boleh diulang kaji setiap hari atau berapa jam sehari untuknya belajar secara berkesan. Jika dilakukan secara berterusan, insya-Allah anak tidak akan panik menjelang minggu peperiksaan.Tekanan biasanya dialami apabila anak kecewa kerana tidak dapat memenuhi kehendak ibu bapa. Jadi, tidak mustahil jika kita dikejutkan dengan kes pelajar sekolah membunuh diri kerana mendapat keputusan kurang baik dalam peperiksaan.Ibu bapa boleh dikatakan begitu mengambil berat kemajuan anak. Malangnya, hasrat murni ibu bapa belum mencapai tahap yang memuaskan.Mereka perlu mengajak anak berfikir mengenai senario akan datang. Peluang untuk masuk ke institusi pengajian tinggi didasarkan kepada merit. Sektor pekerjaan tentu akan terbuka luas kepada calon yang cemerlang.Jika masih leka dan selesa dengan apa yang ada, pasti anak akan ketinggalan dalam pelbagai bidang.
Seperkara lagi, pelajar kelihatan semakin kurang menunjukkan minat membaca. Masih ramai yang menjadikan buku hanya teman ketika menjelang peperiksaan, sedangkan budaya membaca perlu dipupuk dan dijadikan amalan harian. Sebagai permulaan ibu bapa perlu menyediakan satu ruang atau bilik di rumah masing-masing sebagai tempat anak belajar dan membaca. Boleh dikatakan sebilangan besar keluarga mempunyai bahan bacaan di rumah.Bahan itu ada yang disusun dan diguna dengan sempurna dan tidak kurang pula yang tidak menjaganya dengan baik. Ibu bapa perlu berusaha menyusun bahan bacaan sebagaimana mereka menyusun perhiasan di ruang tamu agar dapat dimanfaatkan anak dari semasa ke semasa.Bukankah sudah termaktub dalam lipatan sejarah bahawa ayat yang pertama turun kepada Rasulullah ialah: "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan." (Surah al-Alaq, ayat 1). Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mewujudkan budaya membaca. Ibu bapa yang gemar membeli bahan bacaan dan membaca akan menjadi ikutan anak. Berdasarkan itu, ibu bapa perlu menjadikan membaca sebagai kegiatan seisi keluarga sebagaimana budaya solat, makan dan bercuti bersama.Dengan itu, budaya ilmu secara tidak disedari akan menjadi amalan yang sangat baik bagi kemajuan ummah. Dalam satu hadis riwayat Abu Nai'm daripada Ibnu Abbas Rasulullah bersabda: "Manusia yang terdekat kepada darjat kenabian ialah orang yang berilmu dan berjihad. Ada pun yang berilmu, maka mereka memberi petunjuk kepada manusia daripada apa yang dibawa nabi. "Dan yang berjihad, mereka berjuang dengan pedang bagi membela apa yang dibawa nabi."
Kesimpulannya, ibu bapa ialah pembimbing dan pendorong kepada kejayaan seseorang pelajar. Apapun perancangan yang dibuat, jika pelajar sendiri tidak bersikap positif dan memandang serius nasibnya, segala-galanya akan sia-sia saja.Banyakkan melakukan amalan kerohanian seperti berpuasa, solat hajat, berdoa dan membaca surah Yassin ketika anak menduduki peperiksaan. Amalan itu dapat membantu memberi semangat dan keyakinan kepada mereka. Seterusnya bertawakal kepada Allah selepas kita melakukan pelbagai usaha bagi mencapai apa yang dihajatkan. Firman Allah bermaksud: "Apabila kamu bercita-cita maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal."

PENGUMUMAN PEMENANG PERADUAN PANTUN


Setelah Cikgu menilai kesemua pantun, Cikgu dapati pelajar sekolah ini ada bakat dalam mencipta pantun. Dan bakat ini harus diteruskan dan digilap selalu.

Pemenangnya ialah:

Nur Syahirah dari kelas 313.

Pantunnya seperti yang berikut:

Siang ke sawah menuai padi,
Terik mentari menjadi teman;
Tekun dan gigih mengulang kaji,
Itulah kunci kecemerlangan.

13 April 2007 17:27

Syabas Cikgu ucapkan kepada pelajar Nur Syahirah. Yang lain, teruskan mencuba.

Monday, April 23, 2007

IkOn ReMaJa


Cuba dan terus cuba.

Begitulah sikap Afiq Rezza Norrezat, 17 tahun, yang tidak pernah putus asa meskipun gagal dipilih sebagai finalis kali pertama terlibat di dalam peraduan nyanyian Teenage Icon, pada 2005.

Tahun lalu, pelajar Sekolah Menengah Yio Chu Kang itu tampilkan dirinya sekali lagi dalam peraduan anjuran majalah Teenage. Dia bukan sahaja terpilih ke peringkat akhir, bahkan meraih tempat keempat dalam pertandingan tersebut.

Afiq yang terlupa lirik barisan pertama lagu Here Without You (Three Doors Down), yang dibawanya di peringkat separuh akhir pula akui perasaannya gementar sepanjang pertandingan. Si 'hantu bola sepak' itu tidak sangka dipilih ke peringkat akhir untuk membawa lagu Whenever You Will Go yang dipopularkan oleh The Callings.

Daripada mana minat menyanyi itu timbul? Adakah anggota keluarga mereka pernah berkecimpung dalam bidang seni suara? Menurut Afiq, bapa saudara mereka, Nurmuliady Abdul Hamid, adalah pemain bes kumpulan tempatan, Bhumiband. Ibu mereka pula gemar menyanyi dan adalah pengasuh dalam mempersiapkan mereka untuk Teenage Icon.

'Tetapi ibu kami tiada melalui latihan nyanyian secara profesional. Cuma beliau ini memang pandai mendengar. Kalau dendangan kami 'terlari' daripada nada saja, beliau dapat kesan.

'Keluarga kami juga memang minat muzik. Setiap kali di dalam kereta, Adib adiknya akan main CD dan kami semua jamming dalam kereta,' ujar Afiq, selaku abang sulung.

Pada masa lapang, Afiq tidak setakat menyanyi. Sebagai anak misali, mereka adik-beradik gigih membantu ibu bapa mereka mengendalikan gerai makanan, 'Kedai Makan Yunos Ahmad', di Ang Mo Kio Central.

Selain itu, Afiq juga 'kaki beli-belah'.

'Isy! Siapa kata perempuan saja suka membeli-belah. Kalau pergi membeli-belah, saya secara tidak langsung juga akan bersenam sebab saya akan mengambil masa berjalan dari satu pusat membeli-belah ke pusat membeli-belah lain!' tambah jejaka tampan, yang gemarkan pakaian daripada kedai-kedai jenama ulung seperti Topman, Zara, Fourskin dan Flea.

'Tapi, tidak semua baju mahal. Ada yang saya beli di Haji Lane saja,' tambah si peramah itu.
Sejak bergelar ikon, adakah mereka dikerumuni gadis-gadis?

'Selepas peringkat akhir tamat, lima gadis yang tidak saya kenali menanti saya di luar bilik salin pakaian. Mereka memekik-mekik nama saya. Mati-mati hendak bergambar. Kalau diingatkan kembali, gamat! Tetapi menggerunkan juga,' tambahnya, tertawa.

KENAL-KENAL OLEH NURLIZA MOHD SHAH :
DISIARKAN DI RUANGAN EXTRA BH 23 APRIL 07 - ISNIN

Monday, April 16, 2007

NEGARAKU


Sebab-Sebab Saya Tidak Akan Meninggalkan Singapura Dan Menetap Di Negara Lain

Singapura adalah sebuah negara yang maju dalam banyak aspek seperti ekonomi, komunikasi, keselamatan, prasarana dan juga dari segi pendidikan.

Pendidikan adalah perkara utama yang dititikberatkan selama ini oleh pemerintah Singapura. Dengan sebab ituah, saya tidak sanggup dan tidak akan meninggalkan Singapura untuk menetap di negara lain. Saya telah dibesarkan dan dididik di sini lebih dari enam belas tahun dan bersyukur dengan pendidikan yang saya terima. Sistem pendidikan yang saya alami amat menarik kerana guru-guru di Singapura mengajar menggunakan teknik-teknik pengajaran yang terkini. Pelajar-pelajar di Singapura dapat menggunakan komputer untuk menyelesaikan kerja rumah dan juga guru-guru yang sentiasa bersedia untuk menolong kami. Pemerintah Singapura juga memberi ganjaran seperti hadiah wang tunai kepada pelajar-pelajar yang mendapat markah terbaik dalam sekolah mereka dan sebagainya.

Ekonomi ialah aspek utama kemajuan negara Singapura. Dengan ekonomi yang baik, pemerintah Singapura menyediakan lebih peluang pekerjaan yang lebih luas untuk menolong mereka yang tidak mempunyai pekerjaan. Tambahan pula, gaji yang diberi juga agak mewah di sini daripada negara jiran kita. Secara amnya, ekonomi meningkat apabila pekerja-pekerja mempertingkatkan kemahirannya dan peningkatan kemahiran ini digalakkan oleh pemerintah Singapura. Pemerintah menggalakkan setiap rakyatnya mengikuti kursus-kursus dalam bidang kemahiran baru.

Selain daripada ekonomi yang merupakan satu aspek yang amat penting, keselamatan juga harus difikirkan. Seperti warga Singapura yang lain, saya tidak perlu berfikir tentang keselamatan diri saya kerana negara ini aman dan selamat untuk didiami. Kami semua rasa selamat kerana sistem keselamatan yang terbaik disediakan oleh pihak polis dan angkatan tentera kita.

Selain dari sebab di atas, keluarga juga memainkan peranan yang penting dalam hidup saya. Dengan keselesaan hidup di sini, ibu bapa saya telah membesarkan dan mendidik saya di Singapura. Walaupun abang saya berada di Dubai dan kakak saya pula di Australia, saya tetap akan berada di mana ibu bapa saya tinggal. Sebagai seorang anak bongsu, ibu bapa yang sudah berumur bergantung harapan pada diri saya. Oleh kerana kasih sayang yang tiada taranya kepada kedua ibu bapa saya, saya rasa tidak elok membiarkan mereka di sini dan saya tinggal di negara lain.

Kesimpulannya, saya akan tetap tinggal di Singapura kerana ia tempat yang selamat untuk didiami, negara yang mementingkan pelajaran dan mempunyai ekonomi yang berdaya saing di samping kerana kasih saya yang mendalam kepada kedua ibu bapa saya bagaikan labah-labah sayangkan sarangnya.

ShahRana Men 511
Sekolah Menengah Yio Chu Kang

Thursday, April 12, 2007

DialOg

Dua orang pelajar menyaksikan seorang ibu memarahi anak remajanya di khalayak ramai. Perbuatannya itu menarik perhatian orang yang sedang lalu-lalang. Salah seorang daripada pelajar tersebut bersetuju dengan perbuatan ibu itu manakala yang seorang lagi berpendapat sebaliknya. Tuliskan dialog antara kedua-dua pelajar tadi. Tekankan perbezaan pendapat antara mereka berdua dalam dialog tersebut.

Masa : Selepas sekolah pada pukul dua petang
Tempat : Di perhentian bas
Pelaku : Rila dan Siti

Rila dan Siti menuju ke pusat pertukaran bas setelah menyaksikan adegan seorang ibu memarahi anak remajanya di sebuah pusat membeli-belah yang ramai pengunjungnya.

Rila : Aku tidak setuju dengan tindakan ibu itu memarahi anak remajanya di khalayak ramai. Kita pun remaja juga. Aku dapat rasai apa yang sedang dia rasai sekarang.

Siti : Remaja itu sudah pasti melakukan sesuatu perbuatan yang salah yang membuat ibunya marah. Pada pendapat aku, ibunya patut memarahinya untuk membetulkan kesalahanya.

Rila : Tetapi si ibu harus memahami perasaan anak remajanya itu. Anaknya sudah besar. Dia bukan budak-budak lagi. Ibunya tidak sepatutnya memalukan anak remajanya di khalayak ramai. Malukan!

Siti : Memang betul ia memalukan. Ibu itu mungkin bertindak demikian untuk menyedarkan kesalahan anaknya agar tidak melakukannya lagi pada lain masa. Lain kali dia akan ingat.

Rila : Tidak terfikirkan kau bahawa anaknya itu mungkin akan membenci ibunya dan tidak akan menghormatinya kerana memalukannya di depan orang ramai. Kenapa tidak ditegur cara yang sopan. Kasihan aku lihat anaknya menangis menahan malu.

Siti : Ketegasan ibu itu untuk kebaikan anak remajanya. Mungkin kesalahannya agak besar sehingga si ibu tidak dapat menahan kemarahannya atau mungkin cara lain yang dicuba tidak berkesan lalu si ibu bertindak memalukannya di khalayak orang ramai.

Rila : Satu hari nanti si anak akan mengikut tingkah-laku si ibu itu. Kata orang bagaimana acuan begitulah kuihnya. Nasib baik anaknya menangis bila dimarah, kalau anaknya melawan, kan memalukan si ibu. Ini yang menyebabkan anak-anak lari dari rumah.

Siti : Kalau ibu kau bertindak macam itu, apa tindakan kau?

Rila : Alamat perang besarlah. . . Tapi syukur nasib baik ibu aku tidak bertindak macam itu. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian tadi. Eh! Bas aku pun sudah tiba. Aku jalan dahulu.

Keduanya berpisah menaiki bas untuk pulang ke rumah masing-masing.

Karya : NurAfiqah Bte Johari
Menengah : 404

Wednesday, April 11, 2007

Iktisar Pemelajaran & Pengajaran

Para pelajar 2NA,

Kelmarin, Cg telah mengajarkan teknik SAMBAK kepada kamu. Tetapi, ada beberapa pelajar yang terlibat dengan acara SYF, mangkir. Oleh itu, Cg merumuskan apa yang telah diajar pada hari tersebut.

Cg telah memperkenalkan teknik SAMBAK. Teknik ini boleh diaplikasikan kepada pemelajaran & pengajaran ( P&P ) Bahasa Melayu ( BM ) dengan menggunakan alat bantu belajar ( ABB ) surat khabar Berita Harian Isnin.

Apa itu SAMBAK?
Sejenis akronim.

S = siapa
A= apa
M=mengapa
B=bila
A=bAgaimana
K=Kesan

Bagaimana?

Cg telah menggunakan sebuah artikel daripada akhbar BH Isnin. Pelajar membaca petikan itu. Kemudian, dengan mengggunakan akronim SAMBAK, mencari maklumat berdasarkannya.

Cg harapkan semoga penjelasan Cg ini dapat difahami. Jika tidak, Cg akan mengulanginya pada P&P yang akan datang.

Selamat mencuba!

Sunday, April 08, 2007

TAHNIAH !!

Syabas dan tahniah kepada Rahayu (403) dan Afiq (512) kerana berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Peraduan Gemilang yang dianjurkan oleh Innova JC !! ~ Cg Aisha

Thursday, April 05, 2007

PENGUMUMAN PENTING

Kepada para Pelajar Bahasa Melayu Sekolah MenengahYio Chu Kang (PBMSMYCK) yang dikasihi,

Assalamualaikum dan Salam sejahtera.

Pucuk manis pucuk lenggundi,
Daun purut digetus rusa;
Yang manis bernama budi,
Yang indah itu bahasa.


Di dalam semak ada kebun,
Di dalam kebun ada bunga;
Di dalam gelak ada pantun,
Dalam pantun ada makna.

Cikgu mulakan tulisan dengan berpantun. Pantun ialah warisan Melayu yang tidak bernama penciptanya.Kepintaran orang Melayu terzahir pada pantun. Kosa kata yang diungkapkan serta alam sekeliling terpahat dalam pantun.

Pantun tersebut pantun empat kerat. Pantun ada pelbagai kerat, iaitu dua, enam, lapan, sepuluh, dua belas, dan enam belas.

Bagi pantun empat kerat, baris pertama dan kedua ialah pembayang. Manakala baris ketiga dan keempat ialah maksud pantun.

Cara mencipta pantun.
1. Apakah TEMA?

Ada tema budi, nasihat, pelajaran, jenaka dan teka-teki.


2. Pastikan rima akhirnya berbentuk demikian, a/b/a/b

baris pertama ...un
baris kedua ...a
baris ketiga ...un
baris keempat ...a

3. Setiap baris mempunyai 8 hingga 12 suku kata.

bola : dua suku kata, iaitu bo / la
belukar : tiga suku kata, iaitu be / lu / kar

4. Kaprahnya, empat hingga lima perkataan digunakan pada setiap baris pantun.


Oleh itu, Cikgu ingin memaklumkan bahawa peraduan mencipta serangkap pantun empat kerat yang asli yang bertemakan peperiksaan dimulakan.
Bagaimana?
Taipkan jawaban kamu pada BLOG ini. Klik pada comments.
Bila?
Tarikh akhir pada Khamis, 19 April 2.10 petang.
Ganjaran?
Hadiah menarik menanti pencipta pantun. Para pemenang akan diumumkan di BLOG.


Semoga pelajar mencuba mencipta pantun asli. Cikgu menantikan penyertaan pelajar.
Saya akhiri dengan serangkap pantun buat cerapan dan renungan pelajar serta serangkap gurindam.
Terima kasih wassalam.

Biarpun bahasa orang gah gemilang,
Bahasa Melayuku tetap cemerlang;
Biarpun bahasa orang tinggi terjulang,
Bahasa ibundaku tetap terbilang.


Apabila guru mengajar di kelas,
Pelajar hendaklah mendengar dengan jelas.

Wednesday, April 04, 2007

Peringatan

Kepada para pelajar,

Jangan lupa membaca buku cerpen Kisah di Bukit Cermin. Ujian akan diadakan secara tanpa diduga!

Friday, March 30, 2007

Selamat Datang


Selamat Datang Ke Lelaman Karya Pelajar
Sekolah Menengah Yio Chu Kang

Visi Utamanya Ialah Mempertingkatkan & Memperkayakan
Kemahiran Bahasa Melayu
Para Pelajar Sekolah Menengah Yio Chu Kang

Dari Segi Penulisan, Pertuturan & Pendengaran
Di Samping Melahirkan Insan Yang Bermoral Dan Berhemah Tinggi
Berkhidmat Untuk Keluarga, Masyarakat & Negara