Friday, September 21, 2007

Hebatnya Dugaan-Mu


Hatiku bimbang dan tidak tenteram, walaupun anak dalam kandunganku telah selamat dilahirkan. Belum sempat aku melihat wajah comelnya, dia telah terus dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi dan ditempatkan di dalam inkubator. Aku hairan melihat kejadian itu tetapi aku terlalu penat untuk memikirkannya. Setelah tujuh jam, Nisa, anakku diserang sawan. Aku tidak tahu kenapa itu yang terjadi dan apakah sebabnya. Aku keliru dan cemas ketika itu.

Kini aku diberitahu bahawa Nisa mengalami sakit saraf otak yang dikenali sebagai ‘celebral palsy’. Ini disebabkan oleh keterlewatan kelahiran Nisa yang menyebabkan dia terminum air ketuban yang mengakibatkan otaknya gagal berfungsi dengan sempurna. Matanya pula tidak mampu berkerdip. Kini, matanya mengalami kesan parut kerana terdedah pada habuk. Tangan Nisa juga tidak mampu diluruskan disebabkan urat saraf tangannya pendek. Dia juga masih tidak mampu berjalan seperti biasa.

Dengan ini, aku membawa Nisa bertemu seorang juru pulih anggota di Tanjong Malim. Aku dan suamiku tidak menghiraukan kos perubatan mahupun usaha yang telah kami curahkan. Aku pernah keguguran kerana terlalu letih dan kurang mengambil berat tentang diriku. Justeru, apa yang paling penting bagiku ialah Nisa cepat sembuh dan berupaya bergerak. Dalam keadaan sedemikian, Nisa harus memakai kasut yang ditempah khas pada harga yang agak tinggi. Kini, barulah Nisa mampu bergerak sendiri walaupun sekadar merangkak sahaja. Aku cukup berpuas hati dengan pencapaiannya sejauh ini.

Namun, sebagai seorang ibu, aku tetap bimbang dengan keadaan mata Nisa. Doktor telah memaklumkan bahawa sekiranya Nisa masih tidak boleh mengerdipkan matanya, dia akan menjadi buta. Ya Allah! Begitu berat dugaan yang harus anakku tempuhi. Aku tidak sanggup membiarkan anakku hidup dalam keadaan sebegitu. Kami terus membawanya ke sebuah hospital pakar agar matanya dapat dibedah. Kosnya begitu tinggi dan kami menghadapi kepayahan untuk membiayainya. Justeru, Nisa hanya dirawat dan dikehendaki bertemu doktor setiap tiga bulan sekali. Nisa terpaksa menanggungnya.

Setiap kali aku melihat Nisa terlena dengan matanya yang terbuka, aku pasti menitiskan air mataku. Perit sungguh bagiku menghadapi dugaan Allah ini. Kami terus berusaha untuk membantu Nisa dengan apa sahaja cara sekali pun. Kesabaran kami terasa berbalas jua tatkala Nisa berupaya memanggil kami ‘mama’ dan ‘ayah’. Kami sungguh terharu. Aku juga berbangga kerana Nisa akhirnya berupaya melakukan beberapa perkara asas secara berdikari. Aku masih menyimpan cita-cita agar dapat menyekolahkan Nisa.

Aku redha dan akan tetap menyayangi Nisa dengan sepenuh kasih dan sayangku. Aku sedar bahawa ada lagi insan lain yang lebih hebat dugaan dan cabarannya yang perlu dilalui. Aku pasrah, ya Allah!

Aziela Bte Sakaria
Men 303

No comments: