Tuesday, September 18, 2007

BerSalah


Hatiku pecah seribu. Tidakku sangka akan jadi begini. Pedih hatiku apabila terkenangkan peristiwa itu.

Ikah ... Itulah insan yang amat aku hargai. Yang sangat kurindui. Wajah ayu itu masih lagi menghantui diriku ini. Memori bersamanya tidak dapat dilupakan. Namun apa dayaku, Ikah telah meninggalkanku buat selama-lamanya.

Ikah adalah seorang gadis yang baik. Orangnya bijak, peramah dan disukai ramai. Aku telah bersahabat dengannya sejak dari darjah satu lagi. Guruku selalu memujinya tidak henti-henti. Mungkin ini yang membuatku iri hati terhadapnya. Tanpaku sedari, aku telah membencinya dalam diam.

Tidakkah aku sehebat dia? Tidakkah aku juga mempunyai ciri-ciri yang sama sepertinya? Persoalan demi persoalan bermain dan muncul di benakku setiap kali bersua muka dengannya. Perasaan benciku terhadapnya ini tidak pernah kuluahkan kepada sesiapa. Ikah pernah bertanya mengapa aku kini bersikap dingin dan sering cuba menghindari daripadanya. Aku hanya berdiam diri. Persahabatan kami akhirnya semakin renggang. Namun begitu, Ikah tetap baik terhadapku. Aku mula sangsi adakah dia benar-benar ikhlas berkawan denganku ataupun tidak. Ah! Sudahlah! Menyakitkan hati sahaja memikirkan tentang hal ini!

“Kring ... !” Loceng sekolah berbunyi menandakan yang masa sekolah sudah tamat. Aku menuju ke perhentian bas seperti biasa. Aku khusyuk berjalan sambil membaca buku sehinggakan tidak perasan sebuah kereta sedang memecut menghala ke arahku.

Duniaku tiba-tiba gelap-gelita seketika. Aku sangkakan mungkin aku telah pergi buat selama-lamanya. Tetapi, tidak ku sangka aku masih bernyawa. Aku hanya pengsan seketika. Aku melihat wajah-wajah cemas mengelilingiku. Aku gagahkan diri untuk duduk dengan bantuan seorang pemuda. Dia cuba menghalangku daripada bergerak. Apabila aku menoleh ke arah kereta yang berhampiran, aku tergamam kaku. Aku melihat Ikah terperangkap di bawah kereta tersebut dengan berlumuran darah.

Ya Allah! Engkau sahaja yang tahu bagaimana perasaan aku pada tika dan saat itu. Aku menghampiri insan mulia itu dan menangis teresak-esak. Barulah aku sedar bahawa selama ini aku termakan dengan bisikan syaitan yang tiada jemu menghasut fikiranku dengan perkara yang bukan-bukan. Aku kebingungan. Apakah yang aku harus lakukan? Semuanya bagaikan sebuah mimpi.

Aku mencapai telefon bimbitku. Sebak rasanya di dada. Terkilan hatiku melihat keadaan Ikah. Aku berasa serba salah pula apabila memikirkan tentang sikapku terhadapnya. Tidak pernah sesekali pun aku membalas senyumannya padaku sejak akhir-akhir ini. Tetapi sekarang... semuanya sudah terlambat.

Ikah tidak dapat diselamatkan. Aku tidak sempat meminta maaf. Rasa kesalku membuak-buak tidak terkira. Siang dan malam aku terbayangkan wajahnya yang ayu itu.

Sehingga sekarang, aku masih tidak dapat melupakan tragedi itu. Tidak pernah pun terlintas di fikiranku untuk berperangai seburuk itu lagi. Biarlah semua ini menjadi satu pengajaran bagiku...

Nur Atikah Binte Mohamed Yusoff
Men 104

No comments: