Thursday, April 05, 2007

PENGUMUMAN PENTING

Kepada para Pelajar Bahasa Melayu Sekolah MenengahYio Chu Kang (PBMSMYCK) yang dikasihi,

Assalamualaikum dan Salam sejahtera.

Pucuk manis pucuk lenggundi,
Daun purut digetus rusa;
Yang manis bernama budi,
Yang indah itu bahasa.


Di dalam semak ada kebun,
Di dalam kebun ada bunga;
Di dalam gelak ada pantun,
Dalam pantun ada makna.

Cikgu mulakan tulisan dengan berpantun. Pantun ialah warisan Melayu yang tidak bernama penciptanya.Kepintaran orang Melayu terzahir pada pantun. Kosa kata yang diungkapkan serta alam sekeliling terpahat dalam pantun.

Pantun tersebut pantun empat kerat. Pantun ada pelbagai kerat, iaitu dua, enam, lapan, sepuluh, dua belas, dan enam belas.

Bagi pantun empat kerat, baris pertama dan kedua ialah pembayang. Manakala baris ketiga dan keempat ialah maksud pantun.

Cara mencipta pantun.
1. Apakah TEMA?

Ada tema budi, nasihat, pelajaran, jenaka dan teka-teki.


2. Pastikan rima akhirnya berbentuk demikian, a/b/a/b

baris pertama ...un
baris kedua ...a
baris ketiga ...un
baris keempat ...a

3. Setiap baris mempunyai 8 hingga 12 suku kata.

bola : dua suku kata, iaitu bo / la
belukar : tiga suku kata, iaitu be / lu / kar

4. Kaprahnya, empat hingga lima perkataan digunakan pada setiap baris pantun.


Oleh itu, Cikgu ingin memaklumkan bahawa peraduan mencipta serangkap pantun empat kerat yang asli yang bertemakan peperiksaan dimulakan.
Bagaimana?
Taipkan jawaban kamu pada BLOG ini. Klik pada comments.
Bila?
Tarikh akhir pada Khamis, 19 April 2.10 petang.
Ganjaran?
Hadiah menarik menanti pencipta pantun. Para pemenang akan diumumkan di BLOG.


Semoga pelajar mencuba mencipta pantun asli. Cikgu menantikan penyertaan pelajar.
Saya akhiri dengan serangkap pantun buat cerapan dan renungan pelajar serta serangkap gurindam.
Terima kasih wassalam.

Biarpun bahasa orang gah gemilang,
Bahasa Melayuku tetap cemerlang;
Biarpun bahasa orang tinggi terjulang,
Bahasa ibundaku tetap terbilang.


Apabila guru mengajar di kelas,
Pelajar hendaklah mendengar dengan jelas.

10 comments:

Anonymous said...

Rusaila 313


Burung merpati terbang sekawan
Terbang mencari taman saujana
Gagal sekali jadikan pengajaran
Buat inspirasi di hari muka

Anonymous said...

Syahirah 313


Siang ke sawah menuai padi
Terik mentari menjadi teman
Tekun dan gigih mengulangkaji
Itulah kunci kecemerlangan

Anonymous said...

nuradilah 212,


kegagalan sekali jangan dirasai,
jikalau hendak menuju kejayaan,
haruslah selalu tabahkan hati,
supaya tercapai segala impian.

Anonymous said...

IrFaN 313



Apa guna memakai kasut
Jika dilangkah betis kiri
Apa guna ilmu dituntut
Kalau tidak belajar sendiri

Anonymous said...

selalulah pergi ke sek0lah,
kalau mahu mencampai ilmu;
bersabar selalulah,
kalau ingin menjadi guru.

uswat0n binti hamid213

Anonymous said...

Nur Amalina (313)

Bunga mawar harum baunya,
Pantang dilihat oleh anak dara;
Kita murid berusaha untuk berjaya,
Kalau tidak pasti kecewa akhirnya

Anonymous said...

Siti Natasha 311,


Mirah membawa kek di dalam tin,
Untuk amir yang bermain di taman;
Belajar dengan rajin,
Untuk lulus peperiksaan.

Anonymous said...

Nur Basyirah 311,


Pak Amir sudah 70 tahun,
Tetapi masih lagi kerja di kebun;
Kita haruslah belajar dengan tekun,
Untuk peperiksaan akhir tahun.

Anonymous said...

Muhd Taqidin 211
Pak Ali minum kopi,
Pak Samat membeli cawan,
Kita harus mengulang kaji,
Supaya lulus dalam peperiksaan.

Anonymous said...

cg

Bidadari kayangan turun ke bumi
Mandi ditasik di Tanjung Bidara
Banyak sekali tunas-tunas bersemi
Bakal mengharumi persada negara