Sunday, July 22, 2007

KetuPat HarMoni


Menganyam ketupat.

Anda pernah menganyam ketupat? Berapa lamakah anda belajar menganyam ketupat. Lima minit? 10 minit? atau 60 minit? atau sampai sekarang masih terkial-kial. Tahun demi tahun berlalu sehingga ada yang mengangkat bendera putih!

Hari Jumaat (20 Julai) yang lalu kita meraikan Hari Keharmonian Kaum di semua sekolah di Singapura bagi mengeratkan hubungan kaum di kalangan masyarakat di negara kita, terutama di kalangan generasi muda. Kata orang melentur buluh daripada rebungnya!

Setiap tahun Cg mengajar kemahiran menganyam ketupat kepada para pelajar dan para pendidik yang berminat untuk mempelajarinya. Hampir 90 peratus daun janur itu terburai sementara bakinya kebanyakannya lupa untuk membuat ketupat yang kedua atau ketiga!

Tetapi Cg begitu kagum dengan seorang pelajar yang bernama KelVin. Dia pelajar menengah 1 Ekspres yang mengambil Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua.

Cg seakan tidak percaya. Cg hanya membimbingnya sekali sahaja tetapi hasilnya sungguh mengkagumkan. Kata orang otaknya cair. Dia begitu tekun dan sabar serta cara memegang daun ketupat itu macam penganyam veteran!

Dalam masa dua jam KelVin dapat menganyam ketupat satay, bawang, pasar, jantung dan manggis. Bukan itu sahaja, dia turut membantu Cg mengajar para pelajar lain yang berminat untuk mempelajarinya termasuk dua guru yang inginkan tunjuk ajar menganyam ketupat manggis!

# Untuk kegiatan menganyam ketupat ini Cg memerlukan lebih kurang 150 helai janur yang Cg beli pagi-pagi buta (6.45 pagi) di Pasar Geylang sebelum ke sekolah. Secekak berharga $2.00. Terdapat lebih kurang 50 helai janur bagi setiap cekak.

# Penyertaan sungguh membanggakan daripada para guru dan pelajar yang bukan Melayu yang berminat untuk mempelajari kemahiran menganyam ketupat. Kebanyakannya berpuas hati apabila berjaya menganyam ketupat satay!