Saturday, September 29, 2007

Thursday, September 27, 2007

AmaZingly ShiOk

Baru-baru ini kami pelajar Yio Chu Kang telah menghadiri sebuah bengkel yang dinamakan “Amazingly Shiok” pada 3hb September 2007. Bengkelnya sungguh menarik.

Melalui bengkel ini, saya dapat mempelajari banyak perkara baru. Di antaranya adalah permainan-permainan tradisional seperti “kaki kuda” dan satu lagi kalau saya tidak silap ialah “galah panjang”.

Permainan “kaki kuda” adalah satu permainan di mana kami menggunakan dua tin susu. Tin-tin itu diikat dengan tali. Kami berpijak di atas tin-tin itu sambil memegang tali ketika berjalan.

Untuk permaian “galah panjang” kami harus berjalan di atas galah (garis lurus yang menggunakan pelekat di lantai). Permainannya amat membingungkan serta mengelirukan, membuatkan saya sering bertanya kepada “laksamana” yang menjalankan aktiviti tersebut.

Selain daripada bermain permainan, kami telah menjalani satu segmen di mana kami harus melakonkan satu babak bangsawan. Melalui lakonan tersebut kami dapat mempelajari seni bangsawan yang pernah wujud sebelum kehadiran dunia perfileman.

Kami juga diberi peluang untuk menjual beli pantun antara satu kumpulan dengan yang lain. Apabila tiba giliran saya untuk menjual pantun dada saya berdebar-debar. Namun saya gagahi juga kerana ia merupakan satu latihan keyakinan diri berdiri di depan orang ramai.

Pada akhir bengkel saya dapat ramai kenalan baru daripada para pelajar sekolah dari daerah Ang Mo Kio.

Terus terang saya katakan, saya amat gembira dan berasa seronok menghadiri bengkel ini. Begitu juga teman-teman saya yang lain turut berasakan demikian.

Apapun jua, saya ingn mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cikgu Aisha kerana memberi saya peluang untuk menghadiri bengkel ini. Terima kasih, cikgu!

Sri Juwita Bte Azmi - 104
Kumpulan Hang Lekiu

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Kumpulan saya mempersembahkan bangsawan cerita Singapura Dilanggar Todak. (Nurul Natalia 112)

Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan apabila mereka memberi kami sebuah dulang besar yang mengandungi nasi dan lauk-pauk untuk dimakan bersama empat orang. (Farhan 112)

Saya berharap agar program ‘learning journey’ ini harus sering diadakan. Siapa yang tidak datang rugi! (Nuratiqah 102)

Apabila hujan turun, kami tidak dapat meneruskan “Amazing Race” tersebut. Sedih sungguh! (Siti Amiratul Raudah 103)

Sesiapa yang bertutur dalam bahasa Inggeris akan didenda dengan membuat ketuk ketampi. (Nur Azlina 102)

Petunjuk yang paling susah kami huraikan berbunyi “carilah 3 yang kahwin 2” (Calvin Ang 101)

Permainan “campak bom” bertujuan menjatuhkan tin-tin yang disusun oleh kumpulan lain. (Siti Fatimah 101)

Saya dimasukkan dalam Kumpulan Tuk Janggut. Kumpulan yang paling kecoh! (Nur Atikah 104)

Kumpulan saya tidak percaya apabila diumumkan kumpulan kami Kumpulan Hang Jebat mendapat tempat pertama. (Dian Azrinda 101)

Pada saya mendapat kawan baru lebih penting daripada kemenangan. (Syafiqah 103)

Pada akhir program kami diberikan sijil penyertaan oleh pihak penganjur. (Noorhasmida 102)

Sekolah yang terlibat : Sekolah menengah Ang Mo Kio, Anderson, Deyi dan Yio Chu Kang. (Mohd Ramdhan 104)

Pada awal perkenalan, para pelajar berasa malu. (Ramizan)

Bengkel ini dikelolakan oleh Syarkat Mind Aktif. (Mohd Shyaifuddin 103)

Bengkel Amazing Shiok itu dijalankan di Kampung Glam. (Zulfikar 104)

Melalui bengkel Amazing Shiok saya dapat berinteraksi dengan para pelajar dari sekolah lain. (Amrin Anan 101)

Sunday, September 23, 2007

KuiZ RamaDHan 2007


1. Bulan Ramadhan bulan ke _______ dalam kalendar Islam ( 9 atau 12)
2. Kita disunatkan _______ sebelum berpuasa pada bulan Ramadhan (beriftar atau bersahur)
3. Seseorang yang berniat puasa Ramadhan pada waktu pagi batal puasanya (ya atau tidak)
4. Nuzul alQuran - Al-Quran turun pada malam _______ Ramadhan. (17 atau 27)
5. Beramal pada malam Lailatul-Qadar ganjaran pahalanya 1000 _______ (bulan atau tahun)
6. Solat 8 atau 20 rakaat dikenali dengan solat _______ (witir atau tarawih)
7. Pada bulan Ramadhan setiap orang mesti membayar zakat ______ (harta atau fitrah)

Kuiz Ramadhan 2007 Ini Terbuka Kepada Semua Pelajar Sekolah Menengah Yio Chu Kang. Untuk Memenangi Hadiah Istimewa Sila Jawab 7 Soalan Mudah Berkaitan Bulan Ramadhan.

Cara Jawab - sila klik perkataan Ramadhan. Tulis Nama Dan Kelas Anda. Kemudian Cuma Tulis Jawapan Ikut Urutan Dari 1 Hingga 7.

Atau Tulis Jawapan Anda Dengan Klik Perkataan Comments Di Bawah Kanan Untuk Menghantar Jawapan Anda.

Selamat Mencuba Dan Berjaya.

Saturday, September 22, 2007

TerKaPai-KaPai


Kesuntukan masa
Kepenatan mencengkam jiwa
Namun masa
Enggan menungguku lagi
Aku ditinggalkan
Terkapai-kapai di sini
Keseorangan

Hari silih berganti
Aku kian terpenjara
Dek menunggu masa
Saat yang berdebar tiba

Debaran yang dirasai
Tidak dapat ku gambarkan
Degupan yang bergoncang
Ketegangan yang menyelubungi
Oh, tak sanggup lagi
Saat itu ku nanti

Berjayakah aku nanti?

Nur Amirah Saparman
Men 401

Friday, September 21, 2007

Hebatnya Dugaan-Mu


Hatiku bimbang dan tidak tenteram, walaupun anak dalam kandunganku telah selamat dilahirkan. Belum sempat aku melihat wajah comelnya, dia telah terus dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi dan ditempatkan di dalam inkubator. Aku hairan melihat kejadian itu tetapi aku terlalu penat untuk memikirkannya. Setelah tujuh jam, Nisa, anakku diserang sawan. Aku tidak tahu kenapa itu yang terjadi dan apakah sebabnya. Aku keliru dan cemas ketika itu.

Kini aku diberitahu bahawa Nisa mengalami sakit saraf otak yang dikenali sebagai ‘celebral palsy’. Ini disebabkan oleh keterlewatan kelahiran Nisa yang menyebabkan dia terminum air ketuban yang mengakibatkan otaknya gagal berfungsi dengan sempurna. Matanya pula tidak mampu berkerdip. Kini, matanya mengalami kesan parut kerana terdedah pada habuk. Tangan Nisa juga tidak mampu diluruskan disebabkan urat saraf tangannya pendek. Dia juga masih tidak mampu berjalan seperti biasa.

Dengan ini, aku membawa Nisa bertemu seorang juru pulih anggota di Tanjong Malim. Aku dan suamiku tidak menghiraukan kos perubatan mahupun usaha yang telah kami curahkan. Aku pernah keguguran kerana terlalu letih dan kurang mengambil berat tentang diriku. Justeru, apa yang paling penting bagiku ialah Nisa cepat sembuh dan berupaya bergerak. Dalam keadaan sedemikian, Nisa harus memakai kasut yang ditempah khas pada harga yang agak tinggi. Kini, barulah Nisa mampu bergerak sendiri walaupun sekadar merangkak sahaja. Aku cukup berpuas hati dengan pencapaiannya sejauh ini.

Namun, sebagai seorang ibu, aku tetap bimbang dengan keadaan mata Nisa. Doktor telah memaklumkan bahawa sekiranya Nisa masih tidak boleh mengerdipkan matanya, dia akan menjadi buta. Ya Allah! Begitu berat dugaan yang harus anakku tempuhi. Aku tidak sanggup membiarkan anakku hidup dalam keadaan sebegitu. Kami terus membawanya ke sebuah hospital pakar agar matanya dapat dibedah. Kosnya begitu tinggi dan kami menghadapi kepayahan untuk membiayainya. Justeru, Nisa hanya dirawat dan dikehendaki bertemu doktor setiap tiga bulan sekali. Nisa terpaksa menanggungnya.

Setiap kali aku melihat Nisa terlena dengan matanya yang terbuka, aku pasti menitiskan air mataku. Perit sungguh bagiku menghadapi dugaan Allah ini. Kami terus berusaha untuk membantu Nisa dengan apa sahaja cara sekali pun. Kesabaran kami terasa berbalas jua tatkala Nisa berupaya memanggil kami ‘mama’ dan ‘ayah’. Kami sungguh terharu. Aku juga berbangga kerana Nisa akhirnya berupaya melakukan beberapa perkara asas secara berdikari. Aku masih menyimpan cita-cita agar dapat menyekolahkan Nisa.

Aku redha dan akan tetap menyayangi Nisa dengan sepenuh kasih dan sayangku. Aku sedar bahawa ada lagi insan lain yang lebih hebat dugaan dan cabarannya yang perlu dilalui. Aku pasrah, ya Allah!

Aziela Bte Sakaria
Men 303

Thursday, September 20, 2007

Wednesday, September 19, 2007

PasRah


Kau ibarat
Terperangkap di tengah lautan
Tak tahu arah manakah
Harus kau tuju

Mengapa ini semua harus berlaku
Apakah ini semua kerna dirimu
Sedangkan aku telah berjanji
Suatu masa dahulu

Tak akan ku ulangi lagi
Zaman silam yang telah pergi
Hidup ini hanya seketika
Sukar untuk diduga

Aku pasrah

Noramizah Bte Rahim
Men 401

Tuesday, September 18, 2007

BerSalah


Hatiku pecah seribu. Tidakku sangka akan jadi begini. Pedih hatiku apabila terkenangkan peristiwa itu.

Ikah ... Itulah insan yang amat aku hargai. Yang sangat kurindui. Wajah ayu itu masih lagi menghantui diriku ini. Memori bersamanya tidak dapat dilupakan. Namun apa dayaku, Ikah telah meninggalkanku buat selama-lamanya.

Ikah adalah seorang gadis yang baik. Orangnya bijak, peramah dan disukai ramai. Aku telah bersahabat dengannya sejak dari darjah satu lagi. Guruku selalu memujinya tidak henti-henti. Mungkin ini yang membuatku iri hati terhadapnya. Tanpaku sedari, aku telah membencinya dalam diam.

Tidakkah aku sehebat dia? Tidakkah aku juga mempunyai ciri-ciri yang sama sepertinya? Persoalan demi persoalan bermain dan muncul di benakku setiap kali bersua muka dengannya. Perasaan benciku terhadapnya ini tidak pernah kuluahkan kepada sesiapa. Ikah pernah bertanya mengapa aku kini bersikap dingin dan sering cuba menghindari daripadanya. Aku hanya berdiam diri. Persahabatan kami akhirnya semakin renggang. Namun begitu, Ikah tetap baik terhadapku. Aku mula sangsi adakah dia benar-benar ikhlas berkawan denganku ataupun tidak. Ah! Sudahlah! Menyakitkan hati sahaja memikirkan tentang hal ini!

“Kring ... !” Loceng sekolah berbunyi menandakan yang masa sekolah sudah tamat. Aku menuju ke perhentian bas seperti biasa. Aku khusyuk berjalan sambil membaca buku sehinggakan tidak perasan sebuah kereta sedang memecut menghala ke arahku.

Duniaku tiba-tiba gelap-gelita seketika. Aku sangkakan mungkin aku telah pergi buat selama-lamanya. Tetapi, tidak ku sangka aku masih bernyawa. Aku hanya pengsan seketika. Aku melihat wajah-wajah cemas mengelilingiku. Aku gagahkan diri untuk duduk dengan bantuan seorang pemuda. Dia cuba menghalangku daripada bergerak. Apabila aku menoleh ke arah kereta yang berhampiran, aku tergamam kaku. Aku melihat Ikah terperangkap di bawah kereta tersebut dengan berlumuran darah.

Ya Allah! Engkau sahaja yang tahu bagaimana perasaan aku pada tika dan saat itu. Aku menghampiri insan mulia itu dan menangis teresak-esak. Barulah aku sedar bahawa selama ini aku termakan dengan bisikan syaitan yang tiada jemu menghasut fikiranku dengan perkara yang bukan-bukan. Aku kebingungan. Apakah yang aku harus lakukan? Semuanya bagaikan sebuah mimpi.

Aku mencapai telefon bimbitku. Sebak rasanya di dada. Terkilan hatiku melihat keadaan Ikah. Aku berasa serba salah pula apabila memikirkan tentang sikapku terhadapnya. Tidak pernah sesekali pun aku membalas senyumannya padaku sejak akhir-akhir ini. Tetapi sekarang... semuanya sudah terlambat.

Ikah tidak dapat diselamatkan. Aku tidak sempat meminta maaf. Rasa kesalku membuak-buak tidak terkira. Siang dan malam aku terbayangkan wajahnya yang ayu itu.

Sehingga sekarang, aku masih tidak dapat melupakan tragedi itu. Tidak pernah pun terlintas di fikiranku untuk berperangai seburuk itu lagi. Biarlah semua ini menjadi satu pengajaran bagiku...

Nur Atikah Binte Mohamed Yusoff
Men 104

Saturday, September 01, 2007