Monday, April 23, 2007

IkOn ReMaJa


Cuba dan terus cuba.

Begitulah sikap Afiq Rezza Norrezat, 17 tahun, yang tidak pernah putus asa meskipun gagal dipilih sebagai finalis kali pertama terlibat di dalam peraduan nyanyian Teenage Icon, pada 2005.

Tahun lalu, pelajar Sekolah Menengah Yio Chu Kang itu tampilkan dirinya sekali lagi dalam peraduan anjuran majalah Teenage. Dia bukan sahaja terpilih ke peringkat akhir, bahkan meraih tempat keempat dalam pertandingan tersebut.

Afiq yang terlupa lirik barisan pertama lagu Here Without You (Three Doors Down), yang dibawanya di peringkat separuh akhir pula akui perasaannya gementar sepanjang pertandingan. Si 'hantu bola sepak' itu tidak sangka dipilih ke peringkat akhir untuk membawa lagu Whenever You Will Go yang dipopularkan oleh The Callings.

Daripada mana minat menyanyi itu timbul? Adakah anggota keluarga mereka pernah berkecimpung dalam bidang seni suara? Menurut Afiq, bapa saudara mereka, Nurmuliady Abdul Hamid, adalah pemain bes kumpulan tempatan, Bhumiband. Ibu mereka pula gemar menyanyi dan adalah pengasuh dalam mempersiapkan mereka untuk Teenage Icon.

'Tetapi ibu kami tiada melalui latihan nyanyian secara profesional. Cuma beliau ini memang pandai mendengar. Kalau dendangan kami 'terlari' daripada nada saja, beliau dapat kesan.

'Keluarga kami juga memang minat muzik. Setiap kali di dalam kereta, Adib adiknya akan main CD dan kami semua jamming dalam kereta,' ujar Afiq, selaku abang sulung.

Pada masa lapang, Afiq tidak setakat menyanyi. Sebagai anak misali, mereka adik-beradik gigih membantu ibu bapa mereka mengendalikan gerai makanan, 'Kedai Makan Yunos Ahmad', di Ang Mo Kio Central.

Selain itu, Afiq juga 'kaki beli-belah'.

'Isy! Siapa kata perempuan saja suka membeli-belah. Kalau pergi membeli-belah, saya secara tidak langsung juga akan bersenam sebab saya akan mengambil masa berjalan dari satu pusat membeli-belah ke pusat membeli-belah lain!' tambah jejaka tampan, yang gemarkan pakaian daripada kedai-kedai jenama ulung seperti Topman, Zara, Fourskin dan Flea.

'Tapi, tidak semua baju mahal. Ada yang saya beli di Haji Lane saja,' tambah si peramah itu.
Sejak bergelar ikon, adakah mereka dikerumuni gadis-gadis?

'Selepas peringkat akhir tamat, lima gadis yang tidak saya kenali menanti saya di luar bilik salin pakaian. Mereka memekik-mekik nama saya. Mati-mati hendak bergambar. Kalau diingatkan kembali, gamat! Tetapi menggerunkan juga,' tambahnya, tertawa.

KENAL-KENAL OLEH NURLIZA MOHD SHAH :
DISIARKAN DI RUANGAN EXTRA BH 23 APRIL 07 - ISNIN

Monday, April 16, 2007

NEGARAKU


Sebab-Sebab Saya Tidak Akan Meninggalkan Singapura Dan Menetap Di Negara Lain

Singapura adalah sebuah negara yang maju dalam banyak aspek seperti ekonomi, komunikasi, keselamatan, prasarana dan juga dari segi pendidikan.

Pendidikan adalah perkara utama yang dititikberatkan selama ini oleh pemerintah Singapura. Dengan sebab ituah, saya tidak sanggup dan tidak akan meninggalkan Singapura untuk menetap di negara lain. Saya telah dibesarkan dan dididik di sini lebih dari enam belas tahun dan bersyukur dengan pendidikan yang saya terima. Sistem pendidikan yang saya alami amat menarik kerana guru-guru di Singapura mengajar menggunakan teknik-teknik pengajaran yang terkini. Pelajar-pelajar di Singapura dapat menggunakan komputer untuk menyelesaikan kerja rumah dan juga guru-guru yang sentiasa bersedia untuk menolong kami. Pemerintah Singapura juga memberi ganjaran seperti hadiah wang tunai kepada pelajar-pelajar yang mendapat markah terbaik dalam sekolah mereka dan sebagainya.

Ekonomi ialah aspek utama kemajuan negara Singapura. Dengan ekonomi yang baik, pemerintah Singapura menyediakan lebih peluang pekerjaan yang lebih luas untuk menolong mereka yang tidak mempunyai pekerjaan. Tambahan pula, gaji yang diberi juga agak mewah di sini daripada negara jiran kita. Secara amnya, ekonomi meningkat apabila pekerja-pekerja mempertingkatkan kemahirannya dan peningkatan kemahiran ini digalakkan oleh pemerintah Singapura. Pemerintah menggalakkan setiap rakyatnya mengikuti kursus-kursus dalam bidang kemahiran baru.

Selain daripada ekonomi yang merupakan satu aspek yang amat penting, keselamatan juga harus difikirkan. Seperti warga Singapura yang lain, saya tidak perlu berfikir tentang keselamatan diri saya kerana negara ini aman dan selamat untuk didiami. Kami semua rasa selamat kerana sistem keselamatan yang terbaik disediakan oleh pihak polis dan angkatan tentera kita.

Selain dari sebab di atas, keluarga juga memainkan peranan yang penting dalam hidup saya. Dengan keselesaan hidup di sini, ibu bapa saya telah membesarkan dan mendidik saya di Singapura. Walaupun abang saya berada di Dubai dan kakak saya pula di Australia, saya tetap akan berada di mana ibu bapa saya tinggal. Sebagai seorang anak bongsu, ibu bapa yang sudah berumur bergantung harapan pada diri saya. Oleh kerana kasih sayang yang tiada taranya kepada kedua ibu bapa saya, saya rasa tidak elok membiarkan mereka di sini dan saya tinggal di negara lain.

Kesimpulannya, saya akan tetap tinggal di Singapura kerana ia tempat yang selamat untuk didiami, negara yang mementingkan pelajaran dan mempunyai ekonomi yang berdaya saing di samping kerana kasih saya yang mendalam kepada kedua ibu bapa saya bagaikan labah-labah sayangkan sarangnya.

ShahRana Men 511
Sekolah Menengah Yio Chu Kang

Thursday, April 12, 2007

DialOg

Dua orang pelajar menyaksikan seorang ibu memarahi anak remajanya di khalayak ramai. Perbuatannya itu menarik perhatian orang yang sedang lalu-lalang. Salah seorang daripada pelajar tersebut bersetuju dengan perbuatan ibu itu manakala yang seorang lagi berpendapat sebaliknya. Tuliskan dialog antara kedua-dua pelajar tadi. Tekankan perbezaan pendapat antara mereka berdua dalam dialog tersebut.

Masa : Selepas sekolah pada pukul dua petang
Tempat : Di perhentian bas
Pelaku : Rila dan Siti

Rila dan Siti menuju ke pusat pertukaran bas setelah menyaksikan adegan seorang ibu memarahi anak remajanya di sebuah pusat membeli-belah yang ramai pengunjungnya.

Rila : Aku tidak setuju dengan tindakan ibu itu memarahi anak remajanya di khalayak ramai. Kita pun remaja juga. Aku dapat rasai apa yang sedang dia rasai sekarang.

Siti : Remaja itu sudah pasti melakukan sesuatu perbuatan yang salah yang membuat ibunya marah. Pada pendapat aku, ibunya patut memarahinya untuk membetulkan kesalahanya.

Rila : Tetapi si ibu harus memahami perasaan anak remajanya itu. Anaknya sudah besar. Dia bukan budak-budak lagi. Ibunya tidak sepatutnya memalukan anak remajanya di khalayak ramai. Malukan!

Siti : Memang betul ia memalukan. Ibu itu mungkin bertindak demikian untuk menyedarkan kesalahan anaknya agar tidak melakukannya lagi pada lain masa. Lain kali dia akan ingat.

Rila : Tidak terfikirkan kau bahawa anaknya itu mungkin akan membenci ibunya dan tidak akan menghormatinya kerana memalukannya di depan orang ramai. Kenapa tidak ditegur cara yang sopan. Kasihan aku lihat anaknya menangis menahan malu.

Siti : Ketegasan ibu itu untuk kebaikan anak remajanya. Mungkin kesalahannya agak besar sehingga si ibu tidak dapat menahan kemarahannya atau mungkin cara lain yang dicuba tidak berkesan lalu si ibu bertindak memalukannya di khalayak orang ramai.

Rila : Satu hari nanti si anak akan mengikut tingkah-laku si ibu itu. Kata orang bagaimana acuan begitulah kuihnya. Nasib baik anaknya menangis bila dimarah, kalau anaknya melawan, kan memalukan si ibu. Ini yang menyebabkan anak-anak lari dari rumah.

Siti : Kalau ibu kau bertindak macam itu, apa tindakan kau?

Rila : Alamat perang besarlah. . . Tapi syukur nasib baik ibu aku tidak bertindak macam itu. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian tadi. Eh! Bas aku pun sudah tiba. Aku jalan dahulu.

Keduanya berpisah menaiki bas untuk pulang ke rumah masing-masing.

Karya : NurAfiqah Bte Johari
Menengah : 404

Wednesday, April 11, 2007

Iktisar Pemelajaran & Pengajaran

Para pelajar 2NA,

Kelmarin, Cg telah mengajarkan teknik SAMBAK kepada kamu. Tetapi, ada beberapa pelajar yang terlibat dengan acara SYF, mangkir. Oleh itu, Cg merumuskan apa yang telah diajar pada hari tersebut.

Cg telah memperkenalkan teknik SAMBAK. Teknik ini boleh diaplikasikan kepada pemelajaran & pengajaran ( P&P ) Bahasa Melayu ( BM ) dengan menggunakan alat bantu belajar ( ABB ) surat khabar Berita Harian Isnin.

Apa itu SAMBAK?
Sejenis akronim.

S = siapa
A= apa
M=mengapa
B=bila
A=bAgaimana
K=Kesan

Bagaimana?

Cg telah menggunakan sebuah artikel daripada akhbar BH Isnin. Pelajar membaca petikan itu. Kemudian, dengan mengggunakan akronim SAMBAK, mencari maklumat berdasarkannya.

Cg harapkan semoga penjelasan Cg ini dapat difahami. Jika tidak, Cg akan mengulanginya pada P&P yang akan datang.

Selamat mencuba!

Sunday, April 08, 2007

TAHNIAH !!

Syabas dan tahniah kepada Rahayu (403) dan Afiq (512) kerana berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Peraduan Gemilang yang dianjurkan oleh Innova JC !! ~ Cg Aisha

Thursday, April 05, 2007

PENGUMUMAN PENTING

Kepada para Pelajar Bahasa Melayu Sekolah MenengahYio Chu Kang (PBMSMYCK) yang dikasihi,

Assalamualaikum dan Salam sejahtera.

Pucuk manis pucuk lenggundi,
Daun purut digetus rusa;
Yang manis bernama budi,
Yang indah itu bahasa.


Di dalam semak ada kebun,
Di dalam kebun ada bunga;
Di dalam gelak ada pantun,
Dalam pantun ada makna.

Cikgu mulakan tulisan dengan berpantun. Pantun ialah warisan Melayu yang tidak bernama penciptanya.Kepintaran orang Melayu terzahir pada pantun. Kosa kata yang diungkapkan serta alam sekeliling terpahat dalam pantun.

Pantun tersebut pantun empat kerat. Pantun ada pelbagai kerat, iaitu dua, enam, lapan, sepuluh, dua belas, dan enam belas.

Bagi pantun empat kerat, baris pertama dan kedua ialah pembayang. Manakala baris ketiga dan keempat ialah maksud pantun.

Cara mencipta pantun.
1. Apakah TEMA?

Ada tema budi, nasihat, pelajaran, jenaka dan teka-teki.


2. Pastikan rima akhirnya berbentuk demikian, a/b/a/b

baris pertama ...un
baris kedua ...a
baris ketiga ...un
baris keempat ...a

3. Setiap baris mempunyai 8 hingga 12 suku kata.

bola : dua suku kata, iaitu bo / la
belukar : tiga suku kata, iaitu be / lu / kar

4. Kaprahnya, empat hingga lima perkataan digunakan pada setiap baris pantun.


Oleh itu, Cikgu ingin memaklumkan bahawa peraduan mencipta serangkap pantun empat kerat yang asli yang bertemakan peperiksaan dimulakan.
Bagaimana?
Taipkan jawaban kamu pada BLOG ini. Klik pada comments.
Bila?
Tarikh akhir pada Khamis, 19 April 2.10 petang.
Ganjaran?
Hadiah menarik menanti pencipta pantun. Para pemenang akan diumumkan di BLOG.


Semoga pelajar mencuba mencipta pantun asli. Cikgu menantikan penyertaan pelajar.
Saya akhiri dengan serangkap pantun buat cerapan dan renungan pelajar serta serangkap gurindam.
Terima kasih wassalam.

Biarpun bahasa orang gah gemilang,
Bahasa Melayuku tetap cemerlang;
Biarpun bahasa orang tinggi terjulang,
Bahasa ibundaku tetap terbilang.


Apabila guru mengajar di kelas,
Pelajar hendaklah mendengar dengan jelas.

Wednesday, April 04, 2007

Peringatan

Kepada para pelajar,

Jangan lupa membaca buku cerpen Kisah di Bukit Cermin. Ujian akan diadakan secara tanpa diduga!