Thursday, November 04, 2010

KARANGAN : Aktiviti 7 - KOMPONEN KREATIF


2K KOMPONEN KREATIF

2K (Komponen Kreatif) sangat penting kerana ianya menjadikan karangan anda hidup dan realistik. Ianya pasti menambahkan gaya penulisan karangan anda. Sila baca penerangan di bawah ini:


DIALOG

Dialog adalah perbualan antara dua orang. Karangan imaginatif yang menarik mesti ada penggunaan dialog.

X Salmah dan saya tidak mahu menegur satu sama lain.

 “Sudahlah Salmah, saya tidak mahu bercakap dengan awak lagi,” saya sengaja menarikkan suara.
 “Saya juga begitu, daripada bercakap dengan awak, baik saya bercakap dengan tembok. Tak sakit hati saya!” Bulat mata Salmah sebesar duit lima puluh sen.

Contoh Dialog:

- “Apa nak jadi dengan kau ni Anan? Selagi belum pukul 2, 3 pagi, selagi itulah kau tak ingat nak balik. Dahlah tu, tiap pagi kau balik, mabuk.”
“Kenapa ni? Bising lagi. Anan balik, mak bising. Anan tak balik pun, mak bising. Asyik nak mengamuk saja. Mak ni harimau jadi-jadian ya? Kalau nak mengaum selalu, nanti besok Anan hantar pergi sarkis. Nak?” – Maafkan Anan, R. Azmann A. Rahman

- “Dik, boleh saya bertanya?”
“Tanya apa, Encik?”
“Adik ni macam mana boleh ke sana ke mari menjual buku?”
“Maksud Encik?”
“Jangan marah kalau saya bertanya. Adik ni buta, bukan?”
“Ya, Encik.” – Kerusi Roda Fadhli, Rudy Herman Sinen

- Dialog:
“Belilah Ju kalau dah berkenan,” kata Leha sambil tersenyum.
“Benda ni mahal, si Julia ini tak bawa duitlah Leha,” sampuk Rina sambil tersenyum juga.
“Kesian. Julia, kerana kau kawan Rina, kau jadi kawan aku. Kalau sudah jadi kawan aku, aku akan tolong kau. Kau betul sukakan anting-anting ini?” Leha bertanya.- Sesalan, Junaidah Mohd. Sali

- Lama-kelamaan kuajar jua: “Pak cik kenal Rohana Khamis?”
Kerut di dahinya bertambah. “Ah? Siapa? Tak tahu pak cik.”
“Takkanlah pak cik,” selorohku. “Pak cik memang kenal dengannya, 20 tahun yang lalu.”
“Wah, lamanya. Manalah pak cik boleh ingat.”
“Takkanlah,” desakku. “Mak ingat sungguh pada pak cik. Pak cik yang bermalam dengannya di taman bunga.”
“Astaghfirullah,” lafaz pak cik terkejut dengan kelantanganku. “Anak jangan main-main tau! Apa yang anak tuduh pak cik ni?”
“Mengaku sajalah, pak cik,” kataku. “Pak cik ada bermalam dengan emak saya. Pak cik janji akan kahwin dengannya. Tapi setelah malam tu, pak cik tinggalkan dia .”
– Pintu, Abdul Rahman Basrun

- “Semuanya dah terjadi Mak Long...”
“Perkara inidah jadi kes polis, Leha. Ke mahkamah atau tidak, mereka yang menentukan, bukan kita.”
“Tapi ini masalah keluarga, Mak Long. Orang lain tak perlu masuk campur. Leha yakin tentu kita dapat selesaikan sendiri dengan baik. Kita tak perlukan orang luar untuk menguruskan masalah keluarga sendiri. Kita tak perlu polis. Kita tak perlu turun naik mahkamah.” – Saleha Binti Salleh, R. Azmann A. Rahman


MONOLOG

Monolog ialah ucapan seseorang yang bersendirian.

Monolog luaran boleh didengar (baik perlahan ataupun kuat).

Contohnya:
- Diam!
- Aku bencikan engkau!
- Lari! Lari ada lembu gila mengamuk!
- Ibu!
- “Cut! Cut! Nombor lain datang oii!” Kojek menyuruh kakinya beredar segera. – Sulaiman Slyman, Mohammed Thamrin Kamsan
- “Pergi! Pergi! Jangan kacau aku! Pergi! Aku tak mahu! Tak mahu!... Pergi! Binatang! Pergi!” – Maafkan Anan, R. Azmann A. Rahman
- “Aaaaah!!! Abaaah! Sakit, bah!!!” – Saleha Binti Salleh, R. Azmann A. Rahman

Monolog dalaman adalah bisikan di dalam hati.

Contohnya:
- “Mengapakah ibu harus pergi?” bisik hatiku yang sedang dilanda kesedihan.
- “Aku berjanji akan memenuhi impian ibu,” airmata aku kesat. Tiada gunanya aku menangis di atas kegagalan ini.
- “Tidak mungkin! Tidak mungkin!” jerit hati Julia. – Sesalan, Junaidah Mohd Sali
- Insaf. Aku benar-benar insaf. Tetapi, mahukah emak dan kakak menerima aku kembali? Belum sempat aku menemukan jawapannya, aku dikejutkan dari lamunan. – Maafkan Anan, R. Azmann A. Rahman’

PERASAAN

Perasaan dalaman dan luaran akan mempengaruhi pembaca untuk menghayati karangan anda dengan lebih mendalam.
Perasaan dalaman adalah perasaan di dalam hati.

Contohnya:
- Aku bingung memikirkan tentang keadaan ayah yang baru diberhentikan kerja.
- Kegembiraan yang aku rasakan tidak dapatku bendung.
- Dia memang bencikan aku yang lebih pandai daripadanya.
- Aku dapat merasakan ada sesuatu yang menekan perasaannya dan telah merampas sinar dari matanya.Tapi dari kekuyuan matanya itu aku dapat merasakan ada semacam rintihan mendalam yang menikam langsung ke mata hatiku. – Surah Yasin, Setitik Kasih dan Sebuah Pemergian, Peter Augustine Goh
- Semacam perasaan rindu dua orang sahabat sudah begitu memuncak. – Bila Maut Menjemput, Sulaiman Jeem
- Perasaan cemburu kadang kala bersarang di sanubarinya yang sensitif. – Selendang, Isa Kamari
- Pertanyaan yang tidak menentu ini menimbulkan kabut kepada jiwa mudanya. – Selendang, Isa Kamari
- Bukan main lapang dadaku. Seluruh urat anggota yang kejang sudah mula teratur kembali apabila kami dapat turun dari bas yang begitu padat. – Mana Azah Hilang, Suratman Markasan

Perasaan luaran ialah perasaan yang ditunjukkan atau perbuatan yang berdasarkan perasaan.

Contohnya:
- Aku melonjak-lonjak kerana kegembiraan.
- Tanpa aku duga, dia menendang kakiku sehingga luka. Aku tahu dia memang bencikan aku.
- Dahiku urut kerana terlalu bingung dengan keadaan ayah yang baru diberhentikan kerja.
- Titik-titik air jernih makin membasahi wajahnya apabila dia melakukan sujud syukur. – Madrasah, Johar Buang
- Ustaz Mail mendenguskan nafas yang dingin. Hati dan perasaannya benar-benar terhiris. – Madrasah, Johar Buang
- Tiba-tiba, titis-titis air jernih mengalir di celah-celah kedut pipinya. Alangkah remuk hati Ustaz Mail. – Madrasah, Johar Buang
- Orang ramai di kanan kiriku mengeluh berat dan mencemuh ucapan yang mereka tidak harap-harapkan itu. – Mana Azah Hilang, Suratman Markasan


No comments: