Monday, October 12, 2009

Antologi RONA



12 Okt 2009

EKSTRA! - SEKOLAH SANA SINI
'Memancing' pelajar baca dan tulis

Oleh : Norini Mohd Nizan
Pelajar Sekolah Menengah Yio Chu Kang

SEBUT sahaja Rona, akan terbayang di fikiran pencinta sastera akan karya Cikgu Ishak Latiff.

Antologi cerpennya yang diterbitkan beberapa bulan lalu, mengandungi 12 cerpen yang menarik termasuk Nasi Ambeng, Anak Jin Syamsudin, Bai'ah dan 916. Setiap naskhah dijual dengan harga $15.

Baru-baru ini, kami bertuah sebab Cikgu Ishak, yang kini mengajar di Sekolah Seni Singapura (Sota), telah diundang untuk menyampaikan ceramah dan berkongsi pengalamannya dengan kami di Sekolah Menengah Yio Chu Kang.

Beliau yang pernah memenangi Anugerah Persuratan 2007 melalui buku pertamanya, Saga, telah berkongsi pengalamannya mengarang dan memberi beberapa tip menulis untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan akhir tahun.

Menurut Cikgu Ishak, bukan semua cerpen yang dikarangnya tiada kaitan dengan kehidupan hariannya dan jika sesebuah cerpen itu berkaitan dengan hidupnya, beliau akan cuba mengolah cerita itu menjadi lebih menarik.

Beliau juga berpendapat untuk menjadi pengarang yang baik, kita harus banyak membaca buku untuk mendapatkan idea-idea bagi cerita yang akan dihasilkan.

Nicole Arletha, salah seorang pelajar menengah satu yang menghadiri 'Sesi Bertemu Penulis' ini memberitahu saya, dia telah membaca cerpen Enam Jam, karya Cikgu Ishak, sebanyak empat kali. Menurut Nicole cerpen itu sungguh mengasyikkan dan penuh misteri.

Bagi Muhd Nasrullah dan Ahmad Fikri pula, mereka begitu seronok membaca cerpen Kawan Maman yang berunsurkan kisah seram.

Bahasa dan jalan ceritanya mudah difahami. Buku ini, jelas mereka, telah merangsang minat mereka untuk membaca buku-buku Melayu dan menulis secara kreatif dengan kaedah berfikir di luar kekotak minda.

Dian Azrinda, pelajar menengah tiga dan Regan Haliman, pelajar menengah dua pula tertarik dengan keramahan dan teknik penyampaian Cikgu Ishak, yang berjaya menghilangkan rasa mengantuk dan keletihan pelajar memandangkan sesi itu diadakan selepas waktu persekolahan.

Dia, bahkan, menyarankan agar diadakan sesi sedemikian lagi pada masa hadapan untuk merangsang minat membaca pelajar terhadap buku-buku Melayu karya penulis Singapura.

Sasterawan, Djamal Tukimin, dalam kata pengantarnya, turut memberi ulasan bahawa cerpen-cerpen dalam antologi Rona, boleh dipanjangkan menjadi sebuah sinetron kerana banyak unsur-unsur peristiwa dramatik yang sesuai diterapkan untuk dijadikan sebuah drama televisyen.

Pendek kata, 'Sesi Bertemu Penulis' yang dihadiri seramai 30 pelajar telah membuka mata kami tentang kehadiran buku-buku Melayu, yang dihasilkan penulis Singapura.

Oleh kerana terpesona membaca antologi Rona, dua teman saya, Liyana Atiqah dan Muhd Syafiq telah menempah buku ketiga Cikgu Ishak yang bertajuk HP, awal-awal lagi.

Buku itu dijangka diterbitkan tahun hadapan.

# cyBerita : Berita Harian Online